Sunday, December 29, 2019

     JENIS - JENIS QIRAAT


JENIS - JENIS QIRAAT DARI SUDUT SANAD


Qiraat terbahagi kepada beberapa bahagian. Imam Ibnu Al -Jazari menkategorikan qiraat kepada 6 jenis:

  1. Qiraat Mutawatir 
  • Ia qiraat yang diriwayatkan oleh satu kumpulan yang besar yang tidak mungkin mereka bersepakat untuk berbohong serta terselamat daripada berlaku sebarang pendustaan seperti qiraat yang terdapat dalam toriq al - Syatibi dan toriq al - Jazari.         
     2. Qiraat Masyhur
  • Qiraat yang sah sanadnya tetapi tidak mencapai tahap mutawatir. Ia menepati kaedah bahasa arab dan penulisan Resam Uthmani , masyhur dalam kalangan imam qurra' tetapi berlawanan jalan riwayatnya dengan imam tujuh dan ada sesetengahnya tidak.
     3. Qiraat Sahih
  • Iaitu qiraat yang sah sanadnya tetapi menyalahi kaedah bahasa arab atau bacaannya tidak masyhur dalam kalangan imam qurra'.
     4. Qiraat Syaz
  • Qiraat yang tidak sah sanadnya. Maksudnya di sini ialah qiraat yang diriwayatkan oleh seseorang yang thiqah tetapi tidak sesuai dengan salah satu kaedah bahasa arab atau diriwayatkan oleh seseorang yang tidak thiqoh, maka qiraat itu tidak diterima walaupun sesuai dengan penulisan.
     5. Qiraat Maudu'
  • Iaitu qiraat yang direka - reka yang bukan diambil daripada Rasulullah S.A.W. 
     6. Qiraat Syabih Bi Al - Mudraj
  • Qiraat Mudraj adalah bacaan yang ditokok tambah dengan kalimah-kalimah lain sebagai tafsiran. 

RUKUN  QIRAAT YANG DITERIMA

Ulama' telah meletakkan rukun -rukun qiraat yang dianggap sah dan diterima iaitu :
  1. Kesinambungan sanad dengan bacaan Rasulullah S.A.W (secara musyafahah).
  2. Bertepatan dengan bahasa Arab Fasahah.
  3. Bertepatan dengan salah satu dari mushaf - mushaf Rasm Uthmani.

MUTAWATIR QIRAAT IMAM SEPULUH


Tawatir ialah sesuatu perkara yang diambil dari sekumpulan yang ramai dan tidak mungkin berlaku kesilapan atau pembohongan dari awal hingga akhir.

Untuk pengetahuan , qiraat yang sahih itu hanyalah qiraat sepuluh iaitu qiraat oleh :

  1. Imam Nafi' 
  2. Ibnu Kathir 
  3. Abu Amr
  4. Ibnu Amir 
  5. Asim
  6. Hamzah
  7. Al - Kisaie
  8. Abu Jaafar
  9. Yaaqub
  10. Kholaf

Makna Sab‘ah Ahruf pada aspek bahasa:

Sab‘ah bermaksud tujuh, manakala Ahruf pula adalah kata nama jamak bagi Harf dan mempunyai banyak maksud dan inilah yang melahirkan banyak pendapat, namun makna asalnya adalah hujung atau sudut. Pengertian Sab‘ah Ahruf yang dirasakan tepat di sini adalah:

“Cara-cara bacaan yang berbilang-bilang dan beraneka yang dibenarkan membaca dengan mana-mana sahaja dari cara-cara tersebut dan orang yang membacanya dikira telah membaca al-Quran yang diturunkan. Bilangan (tujuh) adalah bilangan sebenar yang memberi erti bahawa had maksima yang boleh dicapai oleh bentuk-bentuk tersebut dalam satu kalimah al-Quran adalah tujuh dan ini tidak memberi makna bahawa kesemua tempat yang ada kepelbagaian bentuk padanya itu mesti mencapai had maksima ini. Pengiraan tujuh bentuk atau cara ini pula dikira di atas satu sudut yang sama”.

Pendapat ini dipilih berdasarkan makna yang terkandung di dalam hadis-hadis Sab‘ah Ahruf dan juga berdasarkan istiqra’ (penelitian) terhadap qira’at-Qira’at mutawatirah yang terkandung di dalam al-Quran.


QIRA’AT SEPULUH DAN HUBUNGANNYA DENGAN SAB‘AH AHRUF


Pada hari ini Sab‘ah Ahruf yang dibenarkan membacanya sebagai al-Quran tidak wujud melainkan dalam lingkungan Qira’at Sepuluh. Selain darinya dikira sebagai Qira’at Shazzah iaitu Qira’at yang tidak boleh dibaca sebagai al-Quran. Kata Imam Ibn al-Jazari :

Maksudnya: “Orang yang berkata sesungguhnya Qira’at Mutawatirah itu tidak ada batasannya, sekiranya yang dikehendaki olehnya ialah zaman kita sekarang maka ia tidak betul kerana tidak wujud lagi hari ini Qira’at Mutawatirah selain Qira’at ‘Ashar (Qira’at Sepuluh), akan tetapi jika yang dimaksudkannya itu ialah zaman awal maka ia boleh dikatakan benar”.

Imam Ibn al-Jazari berkata demikian kerana sebelum ulama menghadkan Qira’at yang sahih kepada 10 sahaja, qira’at-qira’at ini terlalu banyak sehingga ia dikumpulkan oleh sesetengah ulama di dalam kitab-kitab mereka mencapai lebih kurang 25 Qira’at seperti yang dilakukan oleh Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam dan diperluaskan lagi oleh sesetengah qurra’ sehingga mencapai 50 qiraat. Akan tetapi, Qira’at yang dikumpulkan ini bercampur aduk di antara yang sahih dengan yang tidak sahih, oleh yang demikian pada zaman Ibn Mujahid iaitu pada kurun ke-4 hijrah ulama mula menetapkan syarat-syarat penerimaan sesuatu Qira’at dan merujuk kepada syarat-syarat itulah kesimpulan yang dibuat oleh Imam Ibn al-Jazari di atas.

Namun, para ulama' berselisih pendapat mengenai adakah Qira’at Sepuluh ini berasal dari kesemua Ahruf atau satu Harf sahaja.

Pendapat sebahagian besar dari ulama' Salaf dan Khalaf iaitu: bahawa Mushaf Uthmani hanya meliputi sebahagian dari al-Ahruf al-Sab‘ah iaitu yang dikekalkan oleh Rasulullah SAW di dalam Pembentangan Terakhir (al-‘Irdah al-Akhirah) sahaja, yang selain dari itu telah dimansuhkan. Ini bererti bahawa Qira’at ‘Ashar itu hanyalah sebahagian daripada al-Ahruf al-Sab‘ah Dalil mereka ialah sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn al-Jazari: “Sekiranya kita mengatakan bahawa Mashaf Uthmani itu meliputi kesemua Al-Ahruf al-Sab‘ah yang telah diturunkan oleh Allah Taala nescaya apa yang menyalahi tulisan Mushaf akan dikira bukan dari al-Ahruf al-Sab‘ah sedangkan ini merupakan kata-kata yang salah kerana banyak yang menyalahi tulisan Mushaf tetapi ia sahih daripada para sahabat dan Nabi SAW”.

Sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn al-Jazari bahawa ada Qira’at-qira’at yang pernah dibaca oleh para sahabat sebelum al-‘Irdah al-Akhirah telah dimansuhkan bacaannya dan tidak terdapat di dalam Mushaf Uthmani. Para sahabat tentulah tidak akan membaca melainkan apa yang telah diajarkan oleh Baginda SAW sahaja. Ertinya bacaan itu termasuk apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan Allah tidak menurunkan dari al-Quran melainkan hanya Sab‘ah Ahruf.

QIRA’AT SEPULUH YANG DIBACA PADA HARI INI

Telah disebutkan di atas bahawa Qira’at yang sahih itu hanyalah Qira’at Sepuluh iaitu Qira’at Nafi’, Ibn Kathir, Abu ‘Amr, Ibnu ‘Amir, ‘Asim, Hamzah, al-Kisa’i, Abu Ja’far, Ya’qub, dan Khalaf. Namun, perlu diketahui juga bahawa jalan-jalan periwayatan atau disebut dalam istilah ilmu Qira’at sebagai “tariq” adalah begitu banyak, di antaranya ada yang sahih dan ada yang tidak sahih. Oleh itu, untuk mengetahui dan mengiktiraf sesuatu Qira’at itu sahih ataupun tidak maka perlu ada satu kitab yang mengumpulkan Qira’at Sepuluh yang telah diambil dari semua cabang tariqnya yang sahih. Kitab tersebut adalah kitab “al-Nashr fi al-Qira’at al-‘Ashr” karangan Imam Ibn al-Jazari. Kata Haji Khalifah:

Maksudnya: “Ia (kitab ­­al-Nashr Fi al-Qira’at al-‘Ashr) mengumpulkan semua cabang tariq bagi Qurra’ ‘Asharah, tiada seorang pun sebelumnya yang pernah membuat karangan seperti itu”.

Kata al-Sheikh Tamim al-Zu’bi:

Maksudnya: “Perkara yang tidak disebut di dalamnya (Toyyibah al-Nashr) bukan dari Qira’at Mutawatirah yang diterima”.

RUJUKAN

  • https://books.google.com.my/books?id=Wzw8e9Gy9dUC&pg=PT79&lpg=PT79&dq=qiraat+syabih&source=bl&ots=hCnZTsYqQP&sig=ACfU3U2yP1EphMDnCi7uAeWKnbcXj5L2Vw&hl=ms&sa=X&ved=2ahUKEwijibfAvNjmAhVTJHIKHe9hC_YQ6AEwAHoECAoQAQ#v=onepage&q=qiraat%20syabih&f=false
  • https://www.academia.edu/27460292/RINGKASAN_ILMU_QIRAAT
  • http://al-qiraatulquran.blogspot.com/2010/05/apakah-rukun-rukun-bacaan-al-quran-yang.html?m=1
  • https://kiasedu.hex.my/index.php/penerbitan/jurnal-terbitan-kias?layout=edit&id=76
  • https://www.google.com/amp/s/jalanakhirat.wordpress.com/2012/08/10/qiraat-al-quran/amp/

1 comment: